Saturday, 9 May 2015

LAPORAN KEM PEMANTAPAN SAHSIAH TINGKATAN 6
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN WIRA PENRISSEN 2015

1.0  Pendahuluan
Pada tanggal 10 hingga 11 April 2015 yang lalu, telah diadakan ‘Kem Pemantapan Sahsiah Pelajar Pra-U sesi 2014/2015’ yang bertempat di Sumiran Eco Farm, Rantau Panjang, Batu Kawa. Bertemakan ‘Sahsiah Dinamik Kurikulum Cemerlang’, program ini telah disertai oleh semua pelajar tingkatan 6 dan guru-guru akademik tingkatan 6. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan motivasi dan memantapkan sahsiah serta keyakinan diri pelajar tingkatan 6 yang bakal menduduki peperiksaan penggal 2. Program ini juga diharapkan dapat membantu pelajar untuk dapat berfikir secara kreatif dan kritis dalam merancang dan melakukan program serta memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat dan keupayaan, seterusnya memupuk semangat kerjasama antara pelajar. Rasionalnya, para pelajar akan mempunyai keseimbangan antara mental dan sahsiah. Pelajar juga akan mempunyai bakat dan kebolehan yang pelbagai, minat dan potensi diri yang boleh dimajukan sekali gus boleh dimantapkan lagi dengan unsure nilai-nilai murni seterusnya progresif dalam pembelajaran.
2.0  Aturcara aktiviti
Setibanya di lokasi perkhemahan, para pelajar telah diberikan taklimat mengenai aktiviti program dan diikuti dengan taklimat keselamatan sepanjang berada di lokasi perkhemahan. Kemudian, para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada 8 buah pasukan aktiviti dan agihan untuk kumpulan khemah. Pelajar lelaki dan perempuan diasingkan melalui tapak perkhemahan yang berasingan. Aktiviti diteruskan dengan para pelajar untuk mendirikan khemah masing-masing mengikut kumpulan yang telah ditetapkan.
Selesai mendirikan khemah, para pelajar berkumpul di khemah induk untuk aktiviti “ice breaking”. Setiap kumpulan telah diberikan nama kumpulan yang berdasarkan filem-filem  popular seperti, ‘Transformer, Pink Panther, Inspector Gadget, Pirates of Carribean, Hawaii Five-O, The Avengers, Mission Impossible dan X-Men’. Sebagai akiviti dalam kumpulan, setiap kumpulan dikehendaki mencipta bendera kumpulan, moto kumpulan, visi dan misi serta sorakan semangat kumpulan. Para pelajar juga dikehendaki untuk menghafal tarikh lahir dan warna kesukaan setiap ahli. Seterusnya, setiap kumpulan akan membentangkan hasil kerja dan diajukan soalan mengenai tarikh lahir dan warna kesukaan ahli kumpulan. Setelah itu, para pelajar diberikan masa rehat untuk makan tengah hari dan solat Jumaat bagi pelajar Islam.
Selepas rehat, waktu para pelajar dipenuhkan dengan aktiviti ‘jungle futsal’ dan ‘team building games’. Aktiviti-aktiviti ini menguji kesabaran dan kerjasama setiap ahli kumpulan untuk melaksanakan aktiviti dengan jayanya. Tiba waktu malam, sesudah selesai pengurusan diri dan makan malam, program diteruskan dengan ‘campfire’ dan ‘talent show’. Untuk aktiviti ‘talent show’ setiap kumpulan diberikan masa 15 minit untuk membincangkan persembahan secara berkumpulan. Antara persembahan ialah menari, menyanyi dan berlakon. Setiap persembahan yang dipersembahkan menggambarkan kreativiti setiap kumpulan dalam memeriahkan program pada malam itu. Selepas persembahan, para pelajar serta guru-guru dan para pelatih bersama-sama menghiburkan diri dengan tarian ‘trademark’ kem Sumiran, tarian Jamilah dan tarian ‘penguin’. Setelah itu, para pelajar dibenarkan untuk balik ke khemah masing-masing.
Pada keesokan hari, waktu pagi pelajar dimulakan dengan aktiviti senamrobik. Para gugu juga turut serta dalam aktiviti tersebut. Setelah penat bersenam, para pelajar menikmati sarapan pagi. Selesai bersarapan, pelajar berkumpul di khemah induk untuk mendengar ceramah motivasi daripada pemilik kem iaitu Encik Sudaryo. Ceramah dan kata-kata dorongan beliau diharapkan akan dijadikan sebagai bekalan dan memberi kesedaran kepada setiap pelajar dalam menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar.
Seterusnya, program diteruskan dengan aktiviti ‘explorace’. Sepanjang ‘explorace’, banyak cabaran yang perlu dilaksanakan oleh pelajar. Cabaran pertama adalah memakai kasut tanpa menggunakan tangan sendiri. Cabaran ini memerlukan kerjasama dalam kalangan ahli. Kemudian, diikuti dengan cabaran menyanyikan sebuah lagu dalam bahasa Jawa dan Indonesia serta mengucapkan terima kasih dalam bahasa Jawa. Cabaran ‘detour’ iaitu pilihan antara cabaran ‘crack-the-code’ atau menjawab 12 soalan kuiz. Selesai cabaran tersebut, petunjuk seterusnya membawa pelajar kepada cabaran ‘blind trail’. Seterusnya, cabaran menyepak bola dengan mata tertutup. Cabaran seterusnya sekali lagi cabaran ‘detour’ antara menghabiskan sebiji buah tembikai atau sebiji telur mentah. Setelah itu, para pelajar dikehendaki bergambar dengan seekor ular ‘python’ sebelum menuju ke cabaran seterusnya iaitu, ‘obstacle course’ yang merangkumi cabaran seperti ‘mud-crawling’, ‘body balance challenge’, dan ‘climb-over the wall’. Kemudian, cabaran melontar bola ke dalam bekas air dan ‘water activity’. Cabaran ‘water activity’ juga merupakan cabaran ‘detour’ iaitu berkayak atau berenang. Cabaran terakhir iaitu ‘flying fox’, yang merupakan antara aktiviti yang paling popular dan digemari oleh setiap pelajar.
Selesai aktiviti tersebut, para pelajar mula membersihkan diri dan makan tengah hari sebelum bersiap sedia untuk pulang. Sebelum bertolak, program perkhemahan ini diakhiri dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada para pelajar. Pihak sekolah juga mengambil kesempatan ini untuk menghadiahkan cenderahati kepada pihak penganjur Sumiran Eco Farm sebagai tanda terima kasih kerana sudi menerima kehadiran para pelajar tingkatan 6 SMK Wira Penrissen.
3.0  Penutup
Ringkasnya, program perkhemahan ini telah melahirkan pelajar yang bertanggungjawab dan berkeyakinan tinggi. Perkhemahan ini walaupun sangat singkat waktunya telah mencipta sebuah kenangan yang amat bermakna buat semua pelajar tingkatan 6 mahupun guru-guru yang terlibat. Program ini secara tidak langsung memupuk semangat bersaing yang tinggi dalam setiap pelajar dan memberi pengajaran kepada pelajar dalam mewujudkan pelajar yang progresif dalam pembelajaran.



Disediakan oleh,                                                                                                   9 MEI 2015


(FALLISCA EVON BEREK)
Setiausaha,
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti,
SMK Wira Penrissen.



Sunday, 19 April 2015

CIPTAAN LOGO MPPU SMK WIRA PENRISSEN OLEH PELAJAR KELAS TINGKATAN 6A3/JURUSAN SENI VISUAL 14/15






LOGO MPPU SMKWP
Idea asal dilukis oleh : Beatrice Sarika Ak Warpaul
Direka dan diedit semula oleh : Puan Jacquline Ak Kaya (Pensyarah Seni Visual SMKWP)













LAPORAN AKTIVITI JUALAN SUKAN TARA
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR PRAUNIVERSITI
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN WIRA PENRISSEN 2015

1.0  Pendahuluan
Pada tanggal 1 April 2015, Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti (MPPU) SMK Wira Penrissen telah bersepakat untuk mengadakan aktiviti jualan sempena hari Sukan Tara 2015. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah untuk mengumpul dana bagi kegunaan mengadakan aktiviti yang berkaitan dengan majlis pada masa akan datang. Aktiviti ini mendapat sokongan setiap pelajar serta guru-guru akademik tingkatan 6. Sebagai tanda menyokong aktiviti ini, setiap kelas tingkatan 6 telah menghantar beberapa wakil yang secara sukarela ingin membantu dalam aktiviti jualan tersebut. Terdapat juga guru yang turut menyumbangkan bahan untuk digunakan berjual.
2.0  Aturcara Aktiviti
Pada hari jualan tersebut, gerai MPPU telah dibuka di bilik jualan Kelab Usahawan SMK Wira Penrissen. Pihak MPPU telah meminjam bilik tersebut pada hari itu untuk tujuan aktiviti jualan. Antara makanan yang dijual ialah nasi lemak, mi goreng, kuih-muih, leher ayam, kentang goring, sosej, keropok lekor, kerepek, cucur sayur, dan kacang kuda manakala minuman yang dijual ialah air sirap anggur dan sarsi, cendol, ‘pop ice’, dan air limau. Bermula pada pukul 7 pagi, para pelajar untuk sesi berjual waktu pagi telah bertungkus lumus dalam membuat persediaan untuk jualan. Beberapa orang pelajar telah diarahkan untuk keluar membeli bahan basah dengan kebenaran guru penasihat manakala pelajar yang lain memulakan aktiviti jualan dengan menggoreng mi, kentang goreng, sosej dan keropok lekor, membungkus nasi lemak dan kuih muih serta menyediakan bahan untuk cendol. ramai pelajar SMK Wira Penrissen yang berkunjung ke gerai MPPU untuk membeli makanan dan minuman.

Pada jam 12 tengah hari, pelajar untuk sesi berjual pada waktu petang tiba untuk mengambil alih tugas yang ditinggalkan oleh pelajar sesi pagi. Walaupun tidak menyertai jualan pada waktu pagi dan tidak mengetahui perkembangannya, mereka tetap berusaha untuk menjalankan tugas mereka. Oleh sebab gerai MPPU mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar SMK Wira Penrissen, maka mereka terpaksa keluar membeli bahan tambahan terutamanya bahan untuk membuat cendol dan ‘pop ice’. Para pelajar yang bertugas pada waktu itu terpaksa menggoreng lebih banyak makanan untuk memenuhi permintaan pelajar yang singgah ke gerai. Terdapat juga pelajar yang terpaksa menunggu untuk makanan yang dipesan dek kerana pesanan yang terlalu banyak, pelajar MPPU tidak menang tangan untuk melayan.

Aktiviti jualan berjalan dengan lancar sehingga pukul 3 petang. Kemudiannya, pelajar MPPU sudah mula mengemas gerai dengan mencuci perkakas yang digunakan. Makanan dan minuman yang masih belum dijual, dibawa oleh beberapa orang pelajar untuk dijual dengan cara berjaja di sekitar kawasan sekolah. Hasilnya, semua makanan dan minuman tersebut habis dijual. Dengan itu, MPPU dengan rasminya mula mengemas untuk pulang pada pukul 4 petang. Para pelajar diarahkan untuk mengutip sampah di sekitar gerai, mencuci perkakas, memulangkan semula ke tempat asal harta sekolah yang dipinjam seperti meja, menyapu dan mengemop bilik jualan yang digunakan. Kesemua untung yang diperoleh diserahkan kepada bendahari majlis untuk dikira dan dilaporkan kepada guru penasihat.
3.0  Penutup
Tuntasnya, aktiviti jualan ini berjalan dengan lancar berkat sokongan dan kerjasama para pelajar Tingkatan 6. Aktiviti ini telah berjaya mengutip hasil yang lumayan sebagai simpanan wang dana MPPU untuk kegunaan menampung kegiatan MPPU yang akan datang. Secara tidak langsung, aktiviti ini telah mewujudkan kerjasama setiap pelajar Tingkatan 6 yang turut serta tanpa mengira perbezaan kelas dan agama. Para pelajar secara tidak langsung saling berganding bahu ke arah mencapai matlamat majlis yang utama.





















Laporan disediakan oleh,                                               Disemak oleh,

(FALLISCA EVON BEREK)                                      (LEEROY GARET ANAK EDWIN LINGGIE)
Setiausaha,                                                                    Naib Pengerusi,
Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti,                      Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti,

SMK Wira Penrissen.                                                   SMK Wira Penrissen.
Minit Mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar PraUniversiti
Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Penrissen, Kota Samarahan
Bil.4/2015
Tarikh              : 29 Mac 2015
Hari                 : Isnin
Masa                : 1:00 petang
Tempat            : Kelas Tingkatan 6A2
Kehadiran      :
1.      Leeroy Garet               - Naib Pengerusi
2.      Fallisca Evon               - Setiausaha
3.      Erra Tasia                    - Bendahari
4.      Jumaini                        - AJK
5.      Azliana                        - AJK
6.      Sherlene Khung          - AJK
Turut hadir    :
Para pelajar yang akan membantu semasa aktiviti jualan.
1.0              Ucapan Naib Pengerusi
1.1              Naib Pengerusi mengucapkan terima kasih kepada yang hadir kerana sudi hadir untuk menjayakan mesyuarat pada kali ini. Dia juga menyatakan tujuan mesyuarat diadakan adalah untuk membincangkan mengenai aktiviti jualan yang akan diadakan pada hari Sukan Tara yang akan datang. Dia juga mengharapkan sokongan daripada semua yang terlibat agar memainkan peranan masing-masing.
Tindakan   : Makluman

2.0              Perbincangan aktiviti
2.1              Mesyuarat telah membincangkan mengenai aktiviti jualan yang diadakan pada hari Sukan Tara. Perbincangan mengenai perkakas yang diperlukan, makanan dan minuman yang hendak dijual dan bahan-bahan yang perlu dibeli.
2.2              Naib Pengerusi telah mengumumkan bahawa jadual berjual dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Agihan tugas juga dilakukan.
Tindakan    : Makluman
3.0              Laporan kewangan
3.1              Bendahari memaklumkan mengenai jumlah wang dana MPPU yang sedia ada dan menjumlahkan peruntukan yang diperlukan untuk hari jualan tersebut.
Tindakan   : Makluman
4.0              Penutup
4.1              Mesyuarat ditangguh pada pukul 2 petang. Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada masa akan datang.

Disediakan oleh,                                                         Disemak oleh,

(FALLISCA EVON BEREK)                                   (LEEROY GARET EDWIN LINGGIE)
Setiausaha,                                                                  Naib Pengerusi,
Majlis Perwakilan Pelajar PraUniversiti,                     Majlis Perwakilan Pelajar PraUniversiti
SMK Wira Penrissen, Kota Samarahan.                     SMK Wira Penrissen, Kota Samarahan.


Saturday, 18 April 2015

LAPORAN AKTIVITI KECERIAAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR PRAUNIVERSITI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN WIRA PENRISSEN 2014/2015
1.0  Pendahuluan
Pada perjumpaan Majlis Perwakilan Pelajar Pra-Universiti (MPPU) yang ke-2 dan ke 3, majlis telah mengadakan aktiviti pembersihan dan keceriaan. Tempat aktiviti ini dijalankan adalah di blok Tingkatan 6. Semua pelajar Tingkatan 6 telah terlibat dalam aktiviti tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan ialah menyusun dan mengecat bilik stor Tingkatan 6, mengemas dan menyusun buku-buku di bilik sumber Tingkatan 6, dan menghias kelas Tingkatan 6. Dalam aktiviti tersebut, semua pelajar telah diagihkan untuk melakukan tugasan masing-masing.

2.0  Aturcara aktiviti

Pada perjumpaan MPPU yang ke-2, majlis telah menjalankan kerja pembersihan bilik stor milik Tingkatan 6 di kelas 6A1. Seterusnya, kerja keceriaan bilik stor ini diteruskan lagi dengan kerja mengecat bilik tersebut pada perjumpaan MPPU yang ke-3. Bilik ini dibersihkan bertujuan untuk digunakan menyimpan harta milik MPPU yang dibeli dengan menggunakan wang dana MPPU.

Selain itu, majlis telah menjalankan aktiviti pembersihan dan penyusunan buku-buku atau bahan bacaan di bilik sumber Tingkatan 6. Rak buku serta buku-buku di bilik sumber tersebut telah disusun semula dengan kemas agar memudahkan para pelajar. Pada perjumpaan yang seterusnya, para ahli pengawas perpustakaan Tingkatan 6 telah mengambil kesempatan itu untuk mengadakan perjumpaan pengawas untuk kali pertama. Dalam perjumpaan tersebut, pembahagian tugas melalui jadual tugas antara pengawas perpustakaan Tingkatan 6 telah dilaksanakan. Pada keesokan harinya, para pengawas perpustakaan tersebut telah mula bertugas dengan rasminya.

Di samping itu, aktiviti pembersihan dan keceriaan kelas Tingkatan 6 juga telah dijalankan. Ketua kelas Tingkatan 6 setiap kelas masing-masing telah mengarahkan semua rakan sekelas untuk bertugas membersihkan kelas. Tugasan yang diberi ialah membersihkan, menceriakan, dan menghiaskan kelas masing-masing. Antara kerja yang dilakukan ialah menyapu sampah, mengemop, mengelap tingkap, menyusun meja dan kerusi, menghias papan notis, menghias meja guru, membalut meja pelajar, menghias papan putih dan memasang langsir kelas. Hasilnya, setiap kelas telah dihiaskan dengan kreatifnya.

3.0  Kesimpulannya
Semua pelajar telah memainkan peranan penting dalam aktiviti tersebut. Pelajar telah bekerjasama untuk melaksanakan aktiviti pembersihan dan keceriaan di blok Tingkatan 6. Aktiviti ini telah berjaya mewujudkan kerjasama antara pelajar dan mewujudkan suasana kelas yang sesuai untuk pembelajaran.











STOR MPPU SMKWP





                                                 










PUSAT SUMBER PRAU SMKWP




Laporan disediakan oleh,                                                                   16 April 2015

(Jong Hao Cheng)
Penolong Setiausaha,
Majlis Perwakilan Pelajar PraUniversiti,
SMK Wira Penrissen.

Disemak oleh,

(Debra Lika Anak Watt)
Pengerusi,
Majlis Perwakilan Pelajar PraUniversiti,
SMK Wira Penrissen.


      

Saturday, 21 February 2015

Minit Mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar PraUniversiti
Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Penrissen, Kota Samarahan
Bil.3/2015
Tarikh              : 10 Februari 2015
Hari                 :Selasa
Masa                : 1:30 petang
Tempat            : Kelas Tingkatan 6A2
Kehadiran      :
1.      Leeroy Garet               - Naib Pengerusi
2.      Fallisca Evon               - Setiausaha
3.      Erra Tasia                    - Bendahari
4.      Shaggy Hensel            - Penolong Bendahari
5.      Jumaini                        - AJK
6.      Azliana                        - AJK
7.      Sherlene Khung          - AJK

Tidak dapat hadir     :
1.      Debra Lika                  - Pengerusi
2.      Jong Hao Cheng         - Penolong Setiausaha


1.0              Ucapan Naib Pengerusi

1.1              Naib Pengerusi mengalu-alukan kehadiran ahli dan mengucapkan terima kasih kerana sudi hadir. Naib Pengerusi juga menerangkan tujuan mesyuarat pada kali ini. Naib pengerusi mengharapkan kerjasama semua ahli dalam penglibatan diri dalam aktiviti persatuan.
Tindakan: Makluman
2.0              Perbincangan Aktiviti

2.1              Membincangkan aktiviti yang akan dilakukan pada perjumpaan persatuan yang kedua iaitu aktiviti keceriaan. Antara aktiviti ialah mengemas dan menghias kelas, mengemas dan mengecat stor persatuan, dan mengemas pusat sumber Tingkatan 6.
2.2              Naib Pengerusi juga telah mengagihkan tugas kepada AJK untuk mengetuai aktiviti keceriaan.
Tindakan: Semua AJK yang berkenaan
3.0              Perkara Berbangkit

3.1              Mengenai cadangan Jualan Safari di Kampung Git. Usul ini pernah dibincangkan pada mesyuarat persatuan yang kedua yang lalu. Aktiviti jualan ini dijangka akan diadakan pada awal bulan Ogos.
Tindakan: Semua ahli persatuan
4.0              Hal-hal Lain

4.1              Naib Pengerusi menyatakan bahawa kertas cadangan untuk mendapatkan tajaan bagi menampung perbelanjaan lawatan sambil belajar ke Miri dan Kuala Lumpur serta Majlis Graduasi Tingkatan 6 tidak diluluskan oleh pengetua kerana kertas cadangan tersebut perlu mendapat persetujuan pihak PIBG terlebih dahulu.
4.2              Naib Pengerusi juga memaklumkan bahawa lebihan wang dana persatuan akan digunakan untuk menempah jubah graduasi khas bagi tingkatan 6 di SMK Wira Penrissen.
Tindakan: Makluman
4.3              Naib Pengerusi turut memaklumkan bahawa persatuan akan mengadakan jualan selepas cuti sekolah dan akan memasak pada Hari Kokurikulum kelak.
Tindakan: Semua ahli persatuan
5.0              Penutup

5.1              Mesyuarat ditangguh dan mesyuarat seterusnya akan diadakan dalam masa yang terdekat.
Disediakan oleh,                                                         Disemak oleh,

(FALLISCA EVON BEREK)                                   (LEEROY GARET)
Setiausaha,                                                                  Naib Pengerusi,
Majlis Perwakilan Pelajar PraUniversiti,                     Majlis Perwakilan Pelajar PraUniversiti

SMK Wira Penrissen, Kota Samarahan.                     SMK Wira Penrissen, Kota Samarahan.