LAPORAN AKTIVITI JUALAN SUKAN TARA
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR PRAUNIVERSITI
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN WIRA PENRISSEN 2015
1.0 Pendahuluan
Pada
tanggal 1 April 2015, Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti (MPPU) SMK Wira
Penrissen telah bersepakat untuk mengadakan aktiviti jualan sempena hari Sukan
Tara 2015. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah untuk mengumpul dana bagi
kegunaan mengadakan aktiviti yang berkaitan dengan majlis pada masa akan
datang. Aktiviti ini mendapat sokongan setiap pelajar serta guru-guru akademik
tingkatan 6. Sebagai tanda menyokong aktiviti ini, setiap kelas tingkatan 6
telah menghantar beberapa wakil yang secara sukarela ingin membantu dalam
aktiviti jualan tersebut. Terdapat juga guru yang turut menyumbangkan bahan
untuk digunakan berjual.
2.0 Aturcara Aktiviti
Pada
hari jualan tersebut, gerai MPPU telah dibuka di bilik jualan Kelab Usahawan
SMK Wira Penrissen. Pihak MPPU telah meminjam bilik tersebut pada hari itu
untuk tujuan aktiviti jualan. Antara makanan yang dijual ialah nasi lemak, mi
goreng, kuih-muih, leher ayam, kentang goring, sosej, keropok lekor, kerepek,
cucur sayur, dan kacang kuda manakala minuman yang dijual ialah air sirap
anggur dan sarsi, cendol, ‘pop ice’, dan air limau. Bermula pada pukul 7 pagi,
para pelajar untuk sesi berjual waktu pagi telah bertungkus lumus dalam membuat
persediaan untuk jualan. Beberapa orang pelajar telah diarahkan untuk keluar
membeli bahan basah dengan kebenaran guru penasihat manakala pelajar yang lain
memulakan aktiviti jualan dengan menggoreng mi, kentang goreng, sosej dan
keropok lekor, membungkus nasi lemak dan kuih muih serta menyediakan bahan
untuk cendol. ramai pelajar SMK Wira Penrissen yang berkunjung ke gerai MPPU
untuk membeli makanan dan minuman.
Pada
jam 12 tengah hari, pelajar untuk sesi berjual pada waktu petang tiba untuk
mengambil alih tugas yang ditinggalkan oleh pelajar sesi pagi. Walaupun tidak
menyertai jualan pada waktu pagi dan tidak mengetahui perkembangannya, mereka
tetap berusaha untuk menjalankan tugas mereka. Oleh sebab gerai MPPU mendapat
sambutan yang hangat daripada pelajar SMK Wira Penrissen, maka mereka terpaksa
keluar membeli bahan tambahan terutamanya bahan untuk membuat cendol dan ‘pop
ice’. Para pelajar yang bertugas pada waktu itu terpaksa menggoreng lebih
banyak makanan untuk memenuhi permintaan pelajar yang singgah ke gerai.
Terdapat juga pelajar yang terpaksa menunggu untuk makanan yang dipesan dek
kerana pesanan yang terlalu banyak, pelajar MPPU tidak menang tangan untuk
melayan.
Aktiviti
jualan berjalan dengan lancar sehingga pukul 3 petang. Kemudiannya, pelajar
MPPU sudah mula mengemas gerai dengan mencuci perkakas yang digunakan. Makanan
dan minuman yang masih belum dijual, dibawa oleh beberapa orang pelajar untuk
dijual dengan cara berjaja di sekitar kawasan sekolah. Hasilnya, semua makanan
dan minuman tersebut habis dijual. Dengan itu, MPPU dengan rasminya mula
mengemas untuk pulang pada pukul 4 petang. Para pelajar diarahkan untuk
mengutip sampah di sekitar gerai, mencuci perkakas, memulangkan semula ke
tempat asal harta sekolah yang dipinjam seperti meja, menyapu dan mengemop
bilik jualan yang digunakan. Kesemua untung yang diperoleh diserahkan kepada
bendahari majlis untuk dikira dan dilaporkan kepada guru penasihat.
3.0 Penutup
Tuntasnya,
aktiviti jualan ini berjalan dengan lancar berkat sokongan dan kerjasama para
pelajar Tingkatan 6. Aktiviti ini telah berjaya mengutip hasil yang lumayan
sebagai simpanan wang dana MPPU untuk kegunaan menampung kegiatan MPPU yang
akan datang. Secara tidak langsung, aktiviti ini telah mewujudkan kerjasama
setiap pelajar Tingkatan 6 yang turut serta tanpa mengira perbezaan kelas dan
agama. Para pelajar secara tidak langsung saling berganding bahu ke arah
mencapai matlamat majlis yang utama.
Laporan
disediakan oleh, Disemak oleh,
(FALLISCA
EVON BEREK) (LEEROY GARET ANAK EDWIN LINGGIE)
Setiausaha, Naib Pengerusi,
Majlis
Perwakilan Pelajar Prauniversiti, Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti,
SMK
Wira Penrissen. SMK Wira Penrissen.
No comments:
Post a Comment