Saturday 9 May 2015

LAPORAN KEM PEMANTAPAN SAHSIAH TINGKATAN 6
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN WIRA PENRISSEN 2015

1.0  Pendahuluan
Pada tanggal 10 hingga 11 April 2015 yang lalu, telah diadakan ‘Kem Pemantapan Sahsiah Pelajar Pra-U sesi 2014/2015’ yang bertempat di Sumiran Eco Farm, Rantau Panjang, Batu Kawa. Bertemakan ‘Sahsiah Dinamik Kurikulum Cemerlang’, program ini telah disertai oleh semua pelajar tingkatan 6 dan guru-guru akademik tingkatan 6. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan motivasi dan memantapkan sahsiah serta keyakinan diri pelajar tingkatan 6 yang bakal menduduki peperiksaan penggal 2. Program ini juga diharapkan dapat membantu pelajar untuk dapat berfikir secara kreatif dan kritis dalam merancang dan melakukan program serta memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat dan keupayaan, seterusnya memupuk semangat kerjasama antara pelajar. Rasionalnya, para pelajar akan mempunyai keseimbangan antara mental dan sahsiah. Pelajar juga akan mempunyai bakat dan kebolehan yang pelbagai, minat dan potensi diri yang boleh dimajukan sekali gus boleh dimantapkan lagi dengan unsure nilai-nilai murni seterusnya progresif dalam pembelajaran.
2.0  Aturcara aktiviti
Setibanya di lokasi perkhemahan, para pelajar telah diberikan taklimat mengenai aktiviti program dan diikuti dengan taklimat keselamatan sepanjang berada di lokasi perkhemahan. Kemudian, para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada 8 buah pasukan aktiviti dan agihan untuk kumpulan khemah. Pelajar lelaki dan perempuan diasingkan melalui tapak perkhemahan yang berasingan. Aktiviti diteruskan dengan para pelajar untuk mendirikan khemah masing-masing mengikut kumpulan yang telah ditetapkan.
Selesai mendirikan khemah, para pelajar berkumpul di khemah induk untuk aktiviti “ice breaking”. Setiap kumpulan telah diberikan nama kumpulan yang berdasarkan filem-filem  popular seperti, ‘Transformer, Pink Panther, Inspector Gadget, Pirates of Carribean, Hawaii Five-O, The Avengers, Mission Impossible dan X-Men’. Sebagai akiviti dalam kumpulan, setiap kumpulan dikehendaki mencipta bendera kumpulan, moto kumpulan, visi dan misi serta sorakan semangat kumpulan. Para pelajar juga dikehendaki untuk menghafal tarikh lahir dan warna kesukaan setiap ahli. Seterusnya, setiap kumpulan akan membentangkan hasil kerja dan diajukan soalan mengenai tarikh lahir dan warna kesukaan ahli kumpulan. Setelah itu, para pelajar diberikan masa rehat untuk makan tengah hari dan solat Jumaat bagi pelajar Islam.
Selepas rehat, waktu para pelajar dipenuhkan dengan aktiviti ‘jungle futsal’ dan ‘team building games’. Aktiviti-aktiviti ini menguji kesabaran dan kerjasama setiap ahli kumpulan untuk melaksanakan aktiviti dengan jayanya. Tiba waktu malam, sesudah selesai pengurusan diri dan makan malam, program diteruskan dengan ‘campfire’ dan ‘talent show’. Untuk aktiviti ‘talent show’ setiap kumpulan diberikan masa 15 minit untuk membincangkan persembahan secara berkumpulan. Antara persembahan ialah menari, menyanyi dan berlakon. Setiap persembahan yang dipersembahkan menggambarkan kreativiti setiap kumpulan dalam memeriahkan program pada malam itu. Selepas persembahan, para pelajar serta guru-guru dan para pelatih bersama-sama menghiburkan diri dengan tarian ‘trademark’ kem Sumiran, tarian Jamilah dan tarian ‘penguin’. Setelah itu, para pelajar dibenarkan untuk balik ke khemah masing-masing.
Pada keesokan hari, waktu pagi pelajar dimulakan dengan aktiviti senamrobik. Para gugu juga turut serta dalam aktiviti tersebut. Setelah penat bersenam, para pelajar menikmati sarapan pagi. Selesai bersarapan, pelajar berkumpul di khemah induk untuk mendengar ceramah motivasi daripada pemilik kem iaitu Encik Sudaryo. Ceramah dan kata-kata dorongan beliau diharapkan akan dijadikan sebagai bekalan dan memberi kesedaran kepada setiap pelajar dalam menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar.
Seterusnya, program diteruskan dengan aktiviti ‘explorace’. Sepanjang ‘explorace’, banyak cabaran yang perlu dilaksanakan oleh pelajar. Cabaran pertama adalah memakai kasut tanpa menggunakan tangan sendiri. Cabaran ini memerlukan kerjasama dalam kalangan ahli. Kemudian, diikuti dengan cabaran menyanyikan sebuah lagu dalam bahasa Jawa dan Indonesia serta mengucapkan terima kasih dalam bahasa Jawa. Cabaran ‘detour’ iaitu pilihan antara cabaran ‘crack-the-code’ atau menjawab 12 soalan kuiz. Selesai cabaran tersebut, petunjuk seterusnya membawa pelajar kepada cabaran ‘blind trail’. Seterusnya, cabaran menyepak bola dengan mata tertutup. Cabaran seterusnya sekali lagi cabaran ‘detour’ antara menghabiskan sebiji buah tembikai atau sebiji telur mentah. Setelah itu, para pelajar dikehendaki bergambar dengan seekor ular ‘python’ sebelum menuju ke cabaran seterusnya iaitu, ‘obstacle course’ yang merangkumi cabaran seperti ‘mud-crawling’, ‘body balance challenge’, dan ‘climb-over the wall’. Kemudian, cabaran melontar bola ke dalam bekas air dan ‘water activity’. Cabaran ‘water activity’ juga merupakan cabaran ‘detour’ iaitu berkayak atau berenang. Cabaran terakhir iaitu ‘flying fox’, yang merupakan antara aktiviti yang paling popular dan digemari oleh setiap pelajar.
Selesai aktiviti tersebut, para pelajar mula membersihkan diri dan makan tengah hari sebelum bersiap sedia untuk pulang. Sebelum bertolak, program perkhemahan ini diakhiri dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada para pelajar. Pihak sekolah juga mengambil kesempatan ini untuk menghadiahkan cenderahati kepada pihak penganjur Sumiran Eco Farm sebagai tanda terima kasih kerana sudi menerima kehadiran para pelajar tingkatan 6 SMK Wira Penrissen.
3.0  Penutup
Ringkasnya, program perkhemahan ini telah melahirkan pelajar yang bertanggungjawab dan berkeyakinan tinggi. Perkhemahan ini walaupun sangat singkat waktunya telah mencipta sebuah kenangan yang amat bermakna buat semua pelajar tingkatan 6 mahupun guru-guru yang terlibat. Program ini secara tidak langsung memupuk semangat bersaing yang tinggi dalam setiap pelajar dan memberi pengajaran kepada pelajar dalam mewujudkan pelajar yang progresif dalam pembelajaran.



Disediakan oleh,                                                                                                   9 MEI 2015


(FALLISCA EVON BEREK)
Setiausaha,
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti,
SMK Wira Penrissen.