Sunday 19 April 2015

LAPORAN AKTIVITI JUALAN SUKAN TARA
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR PRAUNIVERSITI
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN WIRA PENRISSEN 2015

1.0  Pendahuluan
Pada tanggal 1 April 2015, Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti (MPPU) SMK Wira Penrissen telah bersepakat untuk mengadakan aktiviti jualan sempena hari Sukan Tara 2015. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah untuk mengumpul dana bagi kegunaan mengadakan aktiviti yang berkaitan dengan majlis pada masa akan datang. Aktiviti ini mendapat sokongan setiap pelajar serta guru-guru akademik tingkatan 6. Sebagai tanda menyokong aktiviti ini, setiap kelas tingkatan 6 telah menghantar beberapa wakil yang secara sukarela ingin membantu dalam aktiviti jualan tersebut. Terdapat juga guru yang turut menyumbangkan bahan untuk digunakan berjual.
2.0  Aturcara Aktiviti
Pada hari jualan tersebut, gerai MPPU telah dibuka di bilik jualan Kelab Usahawan SMK Wira Penrissen. Pihak MPPU telah meminjam bilik tersebut pada hari itu untuk tujuan aktiviti jualan. Antara makanan yang dijual ialah nasi lemak, mi goreng, kuih-muih, leher ayam, kentang goring, sosej, keropok lekor, kerepek, cucur sayur, dan kacang kuda manakala minuman yang dijual ialah air sirap anggur dan sarsi, cendol, ‘pop ice’, dan air limau. Bermula pada pukul 7 pagi, para pelajar untuk sesi berjual waktu pagi telah bertungkus lumus dalam membuat persediaan untuk jualan. Beberapa orang pelajar telah diarahkan untuk keluar membeli bahan basah dengan kebenaran guru penasihat manakala pelajar yang lain memulakan aktiviti jualan dengan menggoreng mi, kentang goreng, sosej dan keropok lekor, membungkus nasi lemak dan kuih muih serta menyediakan bahan untuk cendol. ramai pelajar SMK Wira Penrissen yang berkunjung ke gerai MPPU untuk membeli makanan dan minuman.

Pada jam 12 tengah hari, pelajar untuk sesi berjual pada waktu petang tiba untuk mengambil alih tugas yang ditinggalkan oleh pelajar sesi pagi. Walaupun tidak menyertai jualan pada waktu pagi dan tidak mengetahui perkembangannya, mereka tetap berusaha untuk menjalankan tugas mereka. Oleh sebab gerai MPPU mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar SMK Wira Penrissen, maka mereka terpaksa keluar membeli bahan tambahan terutamanya bahan untuk membuat cendol dan ‘pop ice’. Para pelajar yang bertugas pada waktu itu terpaksa menggoreng lebih banyak makanan untuk memenuhi permintaan pelajar yang singgah ke gerai. Terdapat juga pelajar yang terpaksa menunggu untuk makanan yang dipesan dek kerana pesanan yang terlalu banyak, pelajar MPPU tidak menang tangan untuk melayan.

Aktiviti jualan berjalan dengan lancar sehingga pukul 3 petang. Kemudiannya, pelajar MPPU sudah mula mengemas gerai dengan mencuci perkakas yang digunakan. Makanan dan minuman yang masih belum dijual, dibawa oleh beberapa orang pelajar untuk dijual dengan cara berjaja di sekitar kawasan sekolah. Hasilnya, semua makanan dan minuman tersebut habis dijual. Dengan itu, MPPU dengan rasminya mula mengemas untuk pulang pada pukul 4 petang. Para pelajar diarahkan untuk mengutip sampah di sekitar gerai, mencuci perkakas, memulangkan semula ke tempat asal harta sekolah yang dipinjam seperti meja, menyapu dan mengemop bilik jualan yang digunakan. Kesemua untung yang diperoleh diserahkan kepada bendahari majlis untuk dikira dan dilaporkan kepada guru penasihat.
3.0  Penutup
Tuntasnya, aktiviti jualan ini berjalan dengan lancar berkat sokongan dan kerjasama para pelajar Tingkatan 6. Aktiviti ini telah berjaya mengutip hasil yang lumayan sebagai simpanan wang dana MPPU untuk kegunaan menampung kegiatan MPPU yang akan datang. Secara tidak langsung, aktiviti ini telah mewujudkan kerjasama setiap pelajar Tingkatan 6 yang turut serta tanpa mengira perbezaan kelas dan agama. Para pelajar secara tidak langsung saling berganding bahu ke arah mencapai matlamat majlis yang utama.





















Laporan disediakan oleh,                                               Disemak oleh,

(FALLISCA EVON BEREK)                                      (LEEROY GARET ANAK EDWIN LINGGIE)
Setiausaha,                                                                    Naib Pengerusi,
Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti,                      Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti,

SMK Wira Penrissen.                                                   SMK Wira Penrissen.

No comments:

Post a Comment